SELAMAT DATANG KE BLOG PENGAJARAN BAHASA MELAYU TINGKATAN SATU

Ringkasan: Langkah-langkah untuk Memantapkan Hubungan Kejiranan

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah untuk memantapkan hubungan kejiranan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

MEMANG benar kata orang, adik-beradik pun sanggup berbunuh apatah lagi jiran dan juga orang yang tidak dikenali. Zaman sekarang, pembunuhan sama ada dengan niat atau tidak, bukan hanya disebabkan wang ringgit, tetapi sampah pun boleh membawa kematian. Begitulah yang berlaku di Kuala Lumpur apabila sampah menjadi punca kematian seorang lelaki akibat dibelasah oleh jirannya. Insiden ini tentunya akan membuka mata banyak pihak terutamanya mengenai hubungan kejiranan yang semakin renggang di sesuatu kawasan. Antara puncanya adalah seperti perselisihan faham sesama jiran dan tiadanya semangat kekitaan.

            Di kawasan bandar, ketua penduduk perlulah bertanggungjawab memainkan peranan untuk memastikan penduduk di kawasannya hidup dalam keadaan harmoni. Tidak kira apa-apa kaum sekalipun, ikatan kejiranan akan menjadi kukuh jika ada rasa hormat-menghormati, bekerjasama, bertolak ansur dalam pelbagai perkara, tegur-menegur, dan saling membantu.
            Ketua penduduk mestilah mengetahui dan mengambil perhatian terhadap hubungan jiran-jiran yang bermasalah. Contohnya, jika sudah diketahui dua buah keluarga sering bertengkar, ketua penduduk mestilah memikirkan kaedah-kaedah untuk merapatkan hubungan kedua-dua buah keluarga tersebut. Sebarang pergaduhan tidak boleh dibiarkan kerana hal ini akan menyebabkan penduduk tidak bersatu-padu.
            Jika kita membiarkan penduduk tanpa sebarang aktiviti, kita akan merenggangkan hubungan kejiranan. Oleh itu, ketua penduduk mestilah berusaha untuk mengadakan aktiviti setempat yang dapat mengukuhkan hubungan kejiranan di kawasannya. Hari keluarga dan gotong-royong serta sukan tahunan merupakan antara aktiviti yang boleh dijalankan di sesetengah kawasan dan mengikut kesesuaiannya. Melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk. Hal ini secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.
            Selain ketua penduduk, terdapat pihak-pihak lain yang boleh membantu masyarakat untuk memantapkan semangat kejiranan. Media massa turut mampu memainkan peranan dengan mengadakan iklan kesedaran mengenai semangat kejiranan ini. Setelah timbulnya kesedaran, masyarakat akan mula mempersoal tahap semangat kejiranan mereka dan berusaha ke arah mengekalkan serta meningkatkan semangat itu di kawasan mereka. Oleh itu, media massa juga boleh memberikan impak yang berkesan.
            Penduduk setempat itu sendiri boleh melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur dan melibatkan penduduk sebagai ahli. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat dapat kenal-mengenali.
            Sebenarnya terdapat banyak langkah yang boleh diambil untuk mengeratkan hubungan sesama jiran. Hubungan ini sangat penting supaya masyarakat boleh hidup secara aman damai dalam sesuatu kawasan. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

(Dipeik dan diubahsuaikan daripada rencana Memantapkan Hubungan Kejiranan, Utusan Malaysia Online, 30 April 2010)

Oleh Si Celik BM : Komen

Pantun Empat Kerat (Berjimat Cermat)

Pergi ke belukar memasang pikat,
              Pulangnya lewat di hujung petang,
        Jikalau sentiasa berjimat cermat,
              Rezeki secupak terasa segantang.

 Indah nian pemandangan dunia,
               Dari timur hingga ke selatan,
         Sikap berjimat amalan mulia,
               Orang boros sahabat syaitan.

  Masak meranum buah ara,
                Jatuh sebiji di atas papan,
         Jika berjimat setiap perkara,
                Pasti terjamin masa hadapan.

 Sungguh pahit buah peria,
               Dimakan juga dibuat sayuran,
         Membesar belanja sikap sesia,
               Hanya menambah beban kewangan.

 Singgah berehat di kota lama,
                 Kuih dijamah air dihirup,
          Berjimat cermat suruhan agama,
                 Jika diamal sejahteralah hidup.

 Inderagiri pasirnya umat,
                 Tempat berkelah putera raja,
          Baik sedikit tetapi berjimat,
                  Daripada banyak membazir sahaja.

  Turun ke ladang memettik kacang,
                 Hendak dibuat masak lemak,
          Segala urusan jika terancang,
                 Sikap membazir pasti terelak.

(Dipetik daripada antologi Kasut Kelopak Jantung, 
             Tingkatan 1, Dewan Bahasa dan Pustaka)

Latihan:
Bincangkan dalam kumpulan maksud untuk setiap rangkap dan catatkan pada jadual di bawah.

Rangkap
Maksud Rangkap
Rangkap 1

Rangkap 2

Rangkap 3

Rangkap 4

Rangkap 5

Rangkap 6

Rangkap 7





Oleh Si Celik BM : 5 Komen

Pantun

Pengenalan
1. Pantun merupakan puisi tradisional yang paling popular dan sering digunakan oleh masyarakat Melayu sehingga kini.
2. Isi pantun sering merangkumi ilmu seperti adat resam, falsafah, nasihat, peringatan, budaya dan sebagainya.



Fungsi Pantun
Pantun digunakan sebagai alat untuk:
1. Menyampaikan kiasan, nasihat, pesanan, sindiran dan teguran.
2. Mengungkapkan perasaan gembira, hiba, rindu dan sedih.
3. Menyatakan penghargaan dan terima kasih.
4. Menegaskan pendapat dan menjelaskan maklumat.
5. Menguji ketangkasan dan ketajaman fikiran.



Ciri-ciri Pantun
1. Pantun terdiri daripada dua bahagian, iaitu:
i)  Bahagian pembayang maksud atau sampiran 
   - biasanya membayangkan apa-apa yang dikemukakan dalam bahagian maksud pantun (lazimnya pantun 4 kerat pada bahagiam 2 baris di atas).

ii) Bahagian maksud atau isi pantun
   - maksud atau isi sebenar yang hendak disampaikan

2. Jumlah baris pembayang maksud dan maksud adalah sama kerana pantun terdiri daripada angka genap.

3. Jumlah kata bagi setiap baris pantun biasanya antara empat hingga lima patah kata.

4. Jumlah suku kata pada setiap baris pantun pula biasanya lapan hingga dua belas suku kata.

5. Rima akhir pantun ialah:
i)  abab bagi pantun empat kerat;
ii) abcdabcd bagi pantun lapan kerat



Bentuk Pantun
Antara bentuk pantun ialah:
1. Pantun dua kerat
2. Pantun empat kerat
3. Pantun enam kerat
4. Pantun lapan kerat
5. Pantun dua belas kerat, dan sebagainya.



Jenis-jenis Pantun
Jenis pantun bergantung kepada tema pantun yang hendak disampaikan seperti:
1. Pantun cinta dan kasih sayang
2. Pantun kanak-kanak
3. Pantun nasihat, agama dan adat
4. Pantun puji-pujian 
5. Pantun teka-teki
6. Pantun masyarakat 
    - pantun budi, pantun nasib, pantun dagang, pantun jenaka, pantun kiasan, pantun sindiran dan sebagainya.


Oleh Si Celik BM : Komen

Ringkasan: Kebaikan bersukan.


Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kebaikan bersukan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan . anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Masih ramai ibu bapa yang tidak menggalakkan anak mereka bergiat aktif dalam sukan kerana melihat bidang itu tidak memberikan manfaat dan lebih membimbangkan, jika pelajaran anak terabai atau keciciran.
            Pandangan seumpama itu tidak sepatutnya ada kerana pembabitan individu dalam sukan sebenarnya membawa banyak kebaikan kepada mereka. Mereka tidak sedar bahawa bersukan dapat membantu kita untuk menjaga kesihatan.
            Penyampai berita ntv7, Adriana Aris, 39, atau lebih dikenali sebagai Ade, yang aktif bersukan sejak di bangku sekolah rendah turut bersetuju dengan pandangan itu. Katanya, sukan boleh meningkatkan keyakinan diri bagi setiap individu. Keyakinan diri akan meningkatkan semangat seseorang untuk melakukan kerja-kerja harian.
            Ade yang juga Pengarang Eksekutif Berita Produksi dan Pemasaran Kreatif berkata, jika anak suka dan menunjukkan minat tinggi menyertai sukan, ibu bapa sepatutnya tidak menghalang. Sebaliknya, ibu bapa harus memberikan galakan tetapi pada masa yang sama memantaunya supaya mereka dapat menyeimbangkan antara aktiviti sukan dan pelajaran. Hal ini seterusnya dapat menyerap semangat kental dalam kalangan anak-anak muda.
             “Bersukan adalah antara cara untuk membentuk gaya hidup sihat, oleh itu jangan halang minat anak-anak anda. Lebih-lebih lagi, menjalani gaya hidup sihat pada masa kini adalah penting terutama dalam penjagaan kesihatan. Malah, amat membimbangkan kerana sejak kebelakangan ini kita sering mendengar ada individu baru berusia 30 tahun, diserang penyakit jantung berikutan amalan gaya hidup dan corak pemakanan yang tidak sihat.
            “Lagipun, masyarakat Malaysia sememangnya suka makan dari pagi hingga malam dan bersambung ke lewat pagi. Ditambah dengan kemewahan pelbagai makanan, ada yang langsung tidak menjaga serta mengawal corak pemakanan mereka. Makan banyak tetapi tidak bersukan, jadi tiada keseimbangan dalam kehidupan seharian.
            “Justeru, apabila anak meminati sukan, ia sesuatu yang baik kerana ketika usia masih kecillah kita perlu pupuk mereka mengamalkan gaya hidup sihat. Apabila meningkat dewasa, amalan seumpama itu diharapkan agar berterusan. Tambah-tambah lagi, bersukan boleh memupuk kerja dalam kumpulan serta memberi peluang belajar bergaul dengan ramai orang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
(dipetik dan diubahsuaikan daripada “Sibuk bukan halangan bersukan”, oleh Nor Affizar rta Ibrahim, Berita Harian, 9 Jun 2011)

Oleh Si Celik BM : 3 Komen

Syair Kasut Kelopak Jantung

Pelajar diminta untuk melagukan syair di bawah.

Syair (Cerpen Kasut Kelopak Jantung)

Tersebut kisah pelajar tahun tiga
Ahmad namanya miskin dan papa
Kasut tiada pakaian tak sempurna
Datang sekolah serba tak kena.

Cikgu Harun, cikgu subjeknya
Mengajar PJ, setiap masa
Ambil berat, nasib muridnya
Terlebih marah, kelopak jantung dipakaikannya.

Ahmad sedih tidak terkira
Ponteng sekolah itulah tindakannya
Cikgu Harun mula terasa
Anak muridnya telah tiada.

Pergi ke rumah kunjungi muridnya
Sedih hati tidak terkira
Melihat Ahmad terpaksa bekerja
Memetik cili, kasut hendak dibelinya.

Cikgu Harun bergegas pergi
Membeli uniform kepada Ahmad diberi
Terima kasih cikgu, ucapan dihati
Ahmad bersekolah, gembira sekali.

Syair : Cikgu Amin
BENGKEL PENGHAYATAN KOMSAS DAERAH KUBANG PASU, KEDAH

Oleh Si Celik BM : 1 comment

Ringkasan: Kepentingan Nilai-nilai Murni dalam Kehidupan


Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kepentingan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Nilai-nilai murni merupakan amalan baik yang perlu ada pada setiap orang supaya segala tindakan mereka tidak menyeleweng dari norma-norma sosial yang dikehendaki dalam masyarakat. Nilai-nilai murni ini dapat melahirkan insan yang unggul dan utopia demi merealisikan misi nasional negara. Sejajar dengan itu, subjek Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam telah diajar di sekolah-sekolah untuk membentuk generasi muda yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka. Selain itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting untuk memastikan wujudnya nilai-nilai murni dalam diri anak-anak mereka.
Nilai-nilai murni penting dalam kehidupan untuk melahirkan insan yang berakhlak mulia. Sesungguhnya berakhlak mulia amat dituntut dari sudut budaya, peradaban dan agama kita. Amalan nilai-nilai murni dapat membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Kini, bilangan pelajar di negara kita sejumlah 5 juta orang, jika tidak diterapkan dengan nilai-nilai murni sejak di bangku sekolah maka mereka akan menjadi generasi yang akan merugikan negara pada masa kelak. Hal ini kerana, nilai-nilai murni akan mencerminkan suasana kehidupan yang harmoni di Malaysia.
Selain itu, perlu adanya nilai-nilai murni dalam kehidupan adalah untuk membentuk masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran agama. Kepatuhan kepada agama dapat membentuk insan mulia yang sentiasa patuh kepada Tuhan dan setia kepada negara. Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan nilai-nilai murni yang terdapat dalam doktrin agama masing-masing ke dalam jiwa anak-anak. Tambahan pula, nilai-nilai murni yang berasaskan agama penting untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu.
Di peringkat sekolah pula, didikan moral yang positif dan nilai murni yang diterapkan oleh guru, akan dapat mengelakkan diri pelajar daripada terjebak dalam pelbagai pengaruh negatif luar yang tidak memberikan apa-apa faedah dan manfaat. Bekas Perdana Menteri, Tun Sri Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan subjek Pendidikan Moral di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah adalah bertujuan memupuk nilai-nilai murni remaja sejak di bangku sekolah. Hal ini demikian kerana negara memerlukan generasi yang berpengetahuan, berwibawa dan berwawasan, berdisiplin, hemah tinggi, dedikasi, berfikiran luas serta positif.
Guru-guru dan keadaan sekolah yang kondusif boleh membantu para pelajar untuk mewujudkan nilai murni dalam diri mereka. Kewujudan nilai-nilai murni ini dapat melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga bidang kokurikulum. Sebagai contohnya, guru-guru yang menunjukkan sikap positif boleh menjadi role model kepada para pelajar. Tambahan pula, keadaan sekolah yang kondusif dan lengkap dengan kemudahan pembelajaran dapat memudahkan para pelajar belajar dan seterusnya dapat memupuk sikap posif dalam diri mereka. Begitulah caranya sekolah dapat membantu para pelajarnya menjadi seorang yang memiliki nila-nilai murni dalam diri mereka.
Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat pada hari ini terlalu materialistik dan mementingkan kemewahan. Oleh itu, tanggapan sesetengah pihak yang menganggap kononnya nilai kasih sayang yang boleh ditukar ganti dengan harta benda merupakan satu kesilapan besar. Sebenarnya, gejala sosial yang semakin berleluasa ini berpunca daripada kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Ibu bapa terlalu sibuk dan tiada masa untuk menerapkan nilai-nilai murni kekeluargaan seperti kesopanan, adab dan kelakuan yang baik kepada anak-anak. Oleh itu, dalam usaha memupuk nilai murni dalam diri anak-anak, ibu bapa perlu sentiasa bersikap prihatin terhadap anak mereka bagi membina sebuah keluarga yang harmoni.
Kesimpulannya, semua masyarakat di negara ini perlulah tahu dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam diri masing-masing. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kepentingan bagi nilai-nilai murni yang wujud dalam diri kita. Selain itu, terdapat banyak juga langkah untuk mewujudkan nilai-nilai murni ini. Sebagai hasilnya, negara akan memiliki rakyat yang produktif dan berkualiti.

Oleh Si Celik BM : 29 Komen

PERIBAHASA

Dalam video di bawah, terdapat peribahasa di dalamnya. Kenal pasti peribahasa tersebut dan berikan lima contoh peribahasa yang anda ketahui berserta maksudnya sekali. Sila klik link di bawah untuk melihat video.



Oleh Si Celik BM : Komen

Karangan Jenis Cereka/ Pengalaman/ Melengkapkan Cerita

Karangan jenis ini sering dikemukakan dalam peperiksaan. Dalam karangan ini;
i.                 Anda dikehendaki menceritakan suatu peristiwa yang pernah dialami atau berdasarkan kepada khayalan anda.
ii.                 Penulisan atau penceritaan yang anda hasilkan, mestilah mengikut urutan peristiwa dan masa, iaitu mempunyai permulaan, perkembangan, kemuncak, dan pengakhiran cerita.
iii.                  Setiap isi hendaklah mempunyai pertalian.
iv.                 Anda juga boleh menggunakan dialog, tetapi dialog tersebut perlu diletakkan pada perenggan baru dengan menggunakan tanda baca yang betul. Dialog hendaklah ringkas, menarik dan realistik.
v.          Sebaik-baiknya penceritaan anda itu mengandungi unsur pengajaran dan nasihat yang berguna kepada pembaca.
vi.                Peringatan: Jangan terlalu ghairah mereka-reka cerita yang terlalu banyak khayalan kerana ini akan menyebabkan anda tidak dapat menyampaikan maksud dengan jelas.
vii.                Panjang karangan hendaklah tidak kurang daripada 180 patah perkataan.

Latihan:
Suatu hari ketika kamu dalam perjalanan pulang ke rumah, kamu telah dikejutkan oleh suara riuh-rendah. Apabila kamu memandang ke hadapan, kamu dapati asap berkepul-kepul naik ke angkasa dari rumah jiran kamu. Ceritakan peristiwa yang kamu saksikan itu dan apakah tindakan kamu.

Oleh Si Celik BM : Komen

Apa itu penulisan karangan?

Penulisan merupakan penghasilan teks karangan, iaitu melibatkan proses dan hasil. Proses adalah menulis dan mengeluarkan idea, manakala hasil adalah buah fikiran yang telah dikeluarkan menjadi sebuah cerita yang lengkap.

Menulis karangan
Perlu ada perancangan penulisan perenggan:
  1. Pengenalan
  2. Isi
  3. Kesimpulan
  1. Perenggan Pengenalan
i.                     Perlu mengandungi kata kunci iaitu ayat umum dengan ayat khusus. Ayat umum menggambarkan secara keseluruhan isu yang hendak diperkatakan. Ayat khusus pula berfungsi memberikan gambaran terperinci terhadap perkara atau isu yang diperkatakan.
ii.                   Boleh bersifat takrifan terhadap tajuk karangan, bersifat peribahasa, atau pernyataan terhadap pendirian penulis.

  1. Perenggan Isi
i.                     Perlu ada ayat topik dalam setiap perenggan isi. Ayat topik juga dikenali sebagai isi utama karangan yang sesuai dengan pernyataan ayat khusus yang diperkenalkan dalam perenggan pengenalan.
ii.                   Ayat topik boleh dibina di awal, di tengah atau di akhir perenggan. Namun, pelajar dikehendaki memilih untuk meletakkan ayat topik di awal perenggan. Pada bahagian ini, pelajar dikehendaki membuat huraian terhadap ayat topik atau isi utama, memberikan bukti atau contoh serta kesimpulan terhadap ayat topik yang dibincangkan.

Ayat Topik (AT) + Ayat Huraian (AH) + Ayat Bukti/Contoh (AC) + Ayat Penyimpul (AP) = Sebuah perenggan lengkap.

  1. Kesimpulan
i.                     Perlu logik dan memuaskan hati guru (pembaca).
ii.                   Boleh menggunakan bentuk seperti berikut:
-         Kesimpulan terhadap isu yang diperkatakan, atau;
-         Mesej atau petua yang ingin disampaikan, atau;
-         Pengulangan tema.

Panjang karangan tidak kurang daripada 180 patah perkataan.

Oleh Si Celik BM : Komen

Kata Nama

Penggolongan Kata Nama
Golongan kata nama dikelompokkan kepada tiga kumpulan.
i)             Kata Nama Am
ii)            Kata Nama Khas
iii)           Kata Ganti Nama

Kata Nama Am:
Kata Nama Am ialah perkataan yang merujuk kepada benda-benda atau perkara-perkara
yang umum sifatnya (Nik Safiah Karim et al: 2004 : 87). Menurut Tatabahasa Dewan Edisi
Baharu, kata nama am dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu kata nama am abstrak dan
kata nama am konkrit.
Contohnya:
Kata Nama Am Abstrak: -- kedamaian, kemerdekaan.
Kata Nama Am Konkrit: -- tangan, sungai, lantai.

Kata Nama Khas:
Kata Nama Khas merujuk kepada nama ruang, binatang, tempat dan benda secara khusus.
Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (Nik Safiah Karim et. al : 2004 : 86), kata nama
khas ialah kata nama yang merujuk nama sesuatu benda yang khusus dan ejaannya
berpangkalkan huruf besar. Kata nama khas terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu
nama khas hidup dan kata nama khas tak hidup (Nik Safiah Karim et al : 2004 : 86). Kata
nama khas hidup pula terbahagi kepada dua lagi, iaitu kata nama khas hidup manusia dan
kata nama khas hidup bukan manusia. (Nik Safiah Karim et. al : 2004 : 86).


Manusia
Binatang
Tempat
Kata Nama Am
murid
burung
pasar
pekebun
kucing
padang

Kata nama khas hidup manusia
Kata nama khas hidup bukan manusia
Kata nama khas tak hidup
Kata Nama Khas
Ahmad
Lassie
Pahang
Edelina
SBelang
Pulau Pinang
Chandran
Sang Kancil
Gunung Tahan

Kata Ganti Nama:
Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, Kata ganti nama dibahagikan kepada dua sub-
golongan kecil, iaitu
 kata ganti nama tunjuk dan kata ganti nama diri (Nik Safiah Karim et. al : 2004 : 88).
i)       
 Kata ganti nama tunjuk
ii)      
 Kata ganti nama diri
Ganti nama diri pula dibahagikan kepada ganti nama diri orang dan ganti nama diri tanya.
Ganti nama diri orang terdiri daripada
 ganti nama diri orang pertama, ganti nama diri orang
kedua
 dan ganti nama diri orang ketiga. (Nik Safiah Karim, et al : 1989 : 63)

Oleh Si Celik BM : Komen