SELAMAT DATANG KE BLOG PENGAJARAN BAHASA MELAYU TINGKATAN SATU

Ringkasan: Langkah-langkah untuk Memantapkan Hubungan Kejiranan

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah untuk memantapkan hubungan kejiranan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

MEMANG benar kata orang, adik-beradik pun sanggup berbunuh apatah lagi jiran dan juga orang yang tidak dikenali. Zaman sekarang, pembunuhan sama ada dengan niat atau tidak, bukan hanya disebabkan wang ringgit, tetapi sampah pun boleh membawa kematian. Begitulah yang berlaku di Kuala Lumpur apabila sampah menjadi punca kematian seorang lelaki akibat dibelasah oleh jirannya. Insiden ini tentunya akan membuka mata banyak pihak terutamanya mengenai hubungan kejiranan yang semakin renggang di sesuatu kawasan. Antara puncanya adalah seperti perselisihan faham sesama jiran dan tiadanya semangat kekitaan.

            Di kawasan bandar, ketua penduduk perlulah bertanggungjawab memainkan peranan untuk memastikan penduduk di kawasannya hidup dalam keadaan harmoni. Tidak kira apa-apa kaum sekalipun, ikatan kejiranan akan menjadi kukuh jika ada rasa hormat-menghormati, bekerjasama, bertolak ansur dalam pelbagai perkara, tegur-menegur, dan saling membantu.
            Ketua penduduk mestilah mengetahui dan mengambil perhatian terhadap hubungan jiran-jiran yang bermasalah. Contohnya, jika sudah diketahui dua buah keluarga sering bertengkar, ketua penduduk mestilah memikirkan kaedah-kaedah untuk merapatkan hubungan kedua-dua buah keluarga tersebut. Sebarang pergaduhan tidak boleh dibiarkan kerana hal ini akan menyebabkan penduduk tidak bersatu-padu.
            Jika kita membiarkan penduduk tanpa sebarang aktiviti, kita akan merenggangkan hubungan kejiranan. Oleh itu, ketua penduduk mestilah berusaha untuk mengadakan aktiviti setempat yang dapat mengukuhkan hubungan kejiranan di kawasannya. Hari keluarga dan gotong-royong serta sukan tahunan merupakan antara aktiviti yang boleh dijalankan di sesetengah kawasan dan mengikut kesesuaiannya. Melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk. Hal ini secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.
            Selain ketua penduduk, terdapat pihak-pihak lain yang boleh membantu masyarakat untuk memantapkan semangat kejiranan. Media massa turut mampu memainkan peranan dengan mengadakan iklan kesedaran mengenai semangat kejiranan ini. Setelah timbulnya kesedaran, masyarakat akan mula mempersoal tahap semangat kejiranan mereka dan berusaha ke arah mengekalkan serta meningkatkan semangat itu di kawasan mereka. Oleh itu, media massa juga boleh memberikan impak yang berkesan.
            Penduduk setempat itu sendiri boleh melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur dan melibatkan penduduk sebagai ahli. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat dapat kenal-mengenali.
            Sebenarnya terdapat banyak langkah yang boleh diambil untuk mengeratkan hubungan sesama jiran. Hubungan ini sangat penting supaya masyarakat boleh hidup secara aman damai dalam sesuatu kawasan. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

(Dipeik dan diubahsuaikan daripada rencana Memantapkan Hubungan Kejiranan, Utusan Malaysia Online, 30 April 2010)

Oleh Si Celik BM : Komen

0 komen:

Post a Comment